Isnin, 30 November 2015

SOTONG KATOK SERAI ALA KELANTAN


Masalah betul bila tiba penyakit M ni, malas
Aduh dah sampai takat 4 dah kot,
Tapi apapun masak kena masak, perut suami kesayangan kena jaga, nanti bila dia dah berubah hati kita juga yang susah..
Eh tak kan kerana tak masak suami dah nak cari lain... alahai saja je, sebab akak nak kata suami perlu di utamakan... eh wah.. alahai..

Hari ini masak paling ringkas

SOTONG SINGGANG / sotong katok serai



RESEPI
5 ekor sotong segar jenis besar potong 2
1 labu bawang besar - di mayang
6 ulas bawang putih - dimayang
3 barang serai -  di ketok
2 ulas bawang merah - mayang
2 keping asam gelugur
Garam
Gula
 2 biji cili segar

Caranya bersih sotong, akak tak buang kulit luarnya, sebab kalau buang dia nampak suci sangat.. akak suka kuah yang nampak merah sikit.
Panaskan air bersama semua bahan kecuali sotong, biarkan mengeleggak sebenar, kemudan baru masukan sotong rasakan manis masamnya dan masukan cili segar biarkan sekejap angkat. Sotong jangan di masak lama nanti liat..
Senangkan... tapi lasat dan enak. Sedap untuk di hirup.

Hidangan sampingan ikan goreng, sambal dan peria goreng.
Alahai...





KUEH BOKO UBI KAYU


Teringin sangat nak makan kueh boko . Tapi nak buat sendiri, sebab kebiasaan yang beli kuihnya manis sangat.
Dan keinginan akhirnya tercapai, bila cik abang beli ubi kayu masa pergihantar anak kerja.
Ini kesah beberapa hari yang lalu.. bukan hari ini tau.. akak dah di timpa penyakit M.. malas...aduhai..


Resepi .
1 kilo ubi kayu
3 sudu besar gula perang
1 keping manisan
2 gelas air
1 sudu kecil garam
6 helai daun pandan, kisar dengan sedikit air, tapis.
Cara
Kisar ubi dengan sedikit air, kemudian tapis, biarkan seketika.
Panaskan air campurkan gula dan manisan bila hancur , sejukkan seketika.
Gaulkan ubi bersama air gula yang telah sejuk tadi dalam  bekas yang sesuai untuk di kukus. Gaul dan tambah air daun pandan, kemudian tambah 2 gelas air sedikit demi sedikit, sehingga agak cair sedikit dan kukus.
Masa lebih kurang 20 hingga 30 minit, bergantung kepada besarkukusan anda ya. Bila dah agak jernih ubi yang di kukus itu boleh di angkat. Tutup api dan hidang.


Untuk kepala santan..

300 gram santan pekat
100 gram air
Secubit garam
30 gram  tepung beras

Masukan dalam satu periok kesemua bahan, gaul sehingga sebati dan panaskan . Bila dah mengelegak dan santan dah pekat, matikan api dan biarkan sejuk

Cara hidang
Sendukkan kueh ubi tadi kemudian masukan kepala santan tadi
Seperti di bawah....
Sedap...










Makan sehingga puas.. alhamdulillah...
Menjadi sungguh.. alahai...






Jumaat, 20 November 2015

Pagi jumaat dan ASAM PEDAS TEMPOYAK SI IKAN BAUNG ala Pahang

Pagi jumaat, ( kelmarin )
Lepas hantar anak perempuan kerja pagi, akak dan cik abang yang berbaju sukan untuk beriadah di bukit kecik bandar terengganu, tapi terpaksa pesongkan niat ke pasar minggu telok ketapang sebab langit dah merajuk, asik menangis aje sekarang, bukan sikit air matanya, kadang- kadang tak nampak jalan kita di buatnya. Ya lah  dah musim diakan...

Punyalah awal sampai, tengok -tengok hanya beberapa tempat baru ada penjual, akak yang terkejut dari tertidur, almaklum kalau hujan hujan begini, mata akak  macam paham-paham aje, asik nak tertutup aje kerjanya, dan....alahai   . Tu la bila sedar di alam nyata rasa pelik, tak jadi berniaga ke hari ini  ?
Awal lagi , baru 6.45 pagi..  kata cik abang....
Kita tunggulah kejap lagi... sambungnya..

Pukul 7.30 puas dok tunggu tempat jual ikan darat ,masih tak nampak nampak lagi kehadirannya.. akak dah lengoh dah berdiri ni.
Kita balik lah bang...
Tunggu lah kejap, kita gi makan dulu nak.. cik abang memujuk. Bersemangat betul dia hari ni, nak makan ikan baung masak tempoyak. Rupanya tukang jual ikan darat ni, pukul 8.15 baru mari, kata orang jual kain sebelah, bila cik abang tanya.
Lepas aje makan laksan terenggunu kat kedai pasar minggu tu, bila akak datang,
'la ramai doh orang dok beli dan dok nunggu ikan darat,
' kena beratul la  pulak'    .kata cik abang. Dia memang tak suka bab tunggu menunggu ni, tapi kali ni bagus pula  cik abang akak.. rela dia.. ala hai....

2 ekor ikan baung segar  bersama senyuman cik abang di pagi jumaat di pasar  Minggu Telok Ketapang...
Alahai bercerita pulak akak ni...

Jom kita terus berbicara tentang asam pedas tempoyak ikan baung ala pahang
Terimakasih kepada pemberi resepi ini,  cikgu katy,
Akak pernah tanya dia tentang cara masak asam pedas tempoyak ikan baung ni, al maklum beliau anak jati pahang. Memang pakarlah bab bab ni kan. Terimakasih sekali lagi cikgu, memang sedap sungguh.

Ini dia Asam pedas tempoyak ikan baung.
Yang membuat cik abang melanggar pantang makan..
Sedap dan menyelerakan.. kuahnya pekat dan beraroma..
Dan yang membuat anak perempuan bungsu akak makan awal. Biasanya pukul 2 petang baru makan,  hari ini.. bila kami  kat dapur untuk makan tenaghari, dia dah selesai makan.
Lapar... Sedap sangat baunya ..katanya. tak leh nak tahan... sambungnya keapuasan.
Alahai

Jom tengok...
                        ASAM PEDAS TEMPOYAK IKAN BAUNG ALA PAHANG



Resepinya

2 biji kepala ikan baung sederhana besar di belah dua
2 kerat ekor ikan baung.. isinya akak gunakan untuk goreng
5 biji cili api
2 biji lada merah
2 bekas kecil besar tempoyak
1 Ikat kecil daun kesum
Garam bukit
Gula perang

Caranya
Bersihkan ikan baung dengan menggunakan 2 sudu besar air asam jawa, biarkan seketika, kemudian bilas dan toskan. Ambik kepala dan ekor saja untuk masak asam pedas gempoyak ala pahang ni....
Kisarkan kan lada merah, cili api dan tempoyak bersama sedikit air.
Masukan ikan dalam periok dan masukkan bahan yang di kisar tadi bersama air yang mencukupi, angaran ikan itu tenggelam. Masukkan garam sedikit bersama gula perang, biarkan mengelegak , baru masukkan daun kesom.
Biarkan seketika sehingga daun kesum dah layu, jangan lama  memasak nya, kerana ikan ini isinya lembut.
Rasakan masam manis masimnya, kemudian  hidangkan.


 Ini rakan rapat asam pedas tempoyak yang akak sertakan untuk hidangan tengahari ini.

Ikan baung goreng kunyit kosong  dan juga peria bergoreng telor.





Hidangan keseluruhannya.

Sila la tengok.
Walau tak cantik di pandang tapi rasa kenyangnya sampai kepetang.

Ala hai...

Khamis, 19 November 2015

JEMPUT MALAS @ jemput rajin.....ala hai..

Petang ni makan apa .?..cik abang tanya
Abang nak makan apa ?... akak tanya
Jemput malas...  keputusan dari cik abang siap dengan senyuman.
Jemput malas lagi....   bisik akak sendiri.  
Hari hari  makan jemput malas  pun tak apa   . kata cik abang.
Err cik abang dengar ke .. bisik akak lagi... sambil tengok cik abang ralik tengok tv siaran  sukan tenis kegemaranya...

Jemput malas.... malas ke ?  punyalah banyak bahan bahan  yang akak masukkan kat dalam tepung ni, tapi masih lagi orang panggil jeput malas,tak tahu nak masuk apa lagi untuk tukar nama jeput rajin, ni  kira rajin bedoah dah ni kan ...?
. Kesihan kat jemput ni ya.

Jemput ini akak selalu  buat untuk minum petang.
Ck abang dan anak perempuan bongsu akak memang suka sangat kat jemput ini. Akak ?.. lagi la suka.  Sebab Jemput ini memang bagus untuk kesihatan dan tidak berminyak. Mungkin sebab akak tak masukkan telor, akak kata macam tu, sebab ada juga member yang lain guna telor untuk masak jemput.  Akak tak kata salah, sebab ada juga sekali sekala akak gunakan telor. Ikut cita rasa kita lah kan, kita yang masak, dan kita yang makan, yang penting enak, dan menyelerakan.
Cuma untuk jemput  ' rajin '  ni akak tak benarkan  telor untuk ' joing' (serta) sekali member yang lain, walaupun dia dah lama dok tergolek kat rak, seakan menyerah diri untuk di kerjakan.. hahaha....

Jom tengok jemput rajin akak..


Tara....


Nampak tak.... penuh khasiat dan menyelerakan.

Resepinya..

2 cawan tepung gandum
1 batang lobak merah di sangat
1 biji kentang - di sangat
1/2 biji bawang besar - di mayang halus
1 biji lada merah - di mayang
1 sudu kecil udang kering- di rendam dan tumbuk halus
3 tangkai daun sup di cincanghalus
1 sudu kecil garam bukit
1 sudu besar gula perang
1/2 sudu kecil serbuk penaik
2 cawan air

Cara :
Ayak tepung gandum bersama serbuk penaik  dalam mangkuk, dan masukkan semua bahan diatas . Gaul bersama air sedikit demi sedikit sehingga sebati dan boleh di bentuk.
Panas kan minyak, masukkan adunan  yang di bentukkan tadi dengan menggunakan sudu besar,   goreng sehingga kekuningan.
Angkat dan toskan.

Akak temankan jemput rajin akak dengan keropok lekor bersama sos cili sebagai pencicah.
Keropok ini akak beli di Setiu jalan pantai , semasa balik dari rumah bonda kat kampung di pasir puteh. Semua keluarga suka sangat dengan kerepok ini, sebab ia tak masin.
Tiap kali balik kampung , penuh tangan bimbit plastik berisikan kerepok ini  walaupun tiap minggu balik.. aduhai....

Ini dia rakan sepejuangan waktu petang...

Jemput tengok....
Maaf la nak jemput rasa, kira.. alahai....

SUP AYAM BERULAM KAKI AYAM

 Sebenarnya menu akak hari ni ialah sup kaki ayam.  Tapi akak tambahkan juga bahagian ayam yang ada isi, saja untuk menambah perasa. Kaki ayam ini akak beli asing kat kedai proses ayam segar, sebab nak banyak.  Selalu nak banyak. Ialah,  akak jarang beli ayam, sebab cik abang dan anak- anak kurang gemar, ini semua kerana terlalu suka makan KFC dan MD. Beli ayam kalau nak masak mee atau sup. Dannn.. kalau beli seekor baru dapat 2 belah kaki, mana cukupkan. .? Akak nak banyak....hahaha
Sebab ada orang cakap , kaki ayam ni kaya dengan kolegen.

Jom tengok sup ayam berulamkan kaki ayam ..kaki ayam tau bukan kaki yang lain...



Seronok betul bila akak hirup sup ini, cukup perasanya. Suka sangat....

Resepinya

8 belah kaki ayam yang telah di potong jari jemarinya sedikit.
4 ketul daging ayam
8 biji bunga lawang
2 batang kulit kayu manis
3 biji bunga pelaga
3 biji bunga cengkih
2 bungkus sup bunjut
3 batang daun sederi
3 in halia di tumbuk kasar 
1 sudu besar lada hitam yang ditumbuk halus
1 batang lobak merah - di potong
1/2 kuib ayam
1 labu bawang putih - di tumbuk kasar
1 labu bawang besar - di potong 4
3 biji tomato
2 sudu besar bawang goreng
3 batang daun sup
1/2 biji air perahan limau nipis

Caranya
Masukkan kaki ayam bersama ketul ayam  kedalam periok berisi air yang agak banyak, kemudian masukkan bahan 4 sekawan kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga,cengkeh dan lada hitam berserta halia dan  bawang putih , biarkan mengelegak baru masukkan sup bunjut. Masakkan agak lama sehingga kaki ayam dah nampak masak dengan elok, kemudian baru masukan bawang besar, lobak merah yang di potong, tomoto,dan batang sederi yang juga di potong. Masukkan kuib ayam.
Bila semua bahan tadi telah lembut, masukkan garam dan gula.
Masukkan bawang goreng , air perahan limau nipis dan daun sup di potong halus di dalam sup untuk di hidangkan. 

Selamat berjamu selera.


Akak temankan sup kaki ayam ini dengan


Goreng kunyit Ikan cermin


Kacang  bendir goreng.




Selamat menjamu selera  ya... err terlupa. Ohooo itu kari terong yang semalam, untuk akak aje, kerana minat dengan kari terong akak hangatkan kuahnya baru masukkan terong sebiji. Tapi tak makan pun , dik terlalu seronok hirup sup dan kekah kaki ayam......kari terong terbiar kesepian menunggu untuk ... alahai ..

Rabu, 18 November 2015

CERITA ROTI BAKAR ALA OLD TOWN

Kelakar kan , roti bakar pun masuk dalam blog. Hahaha... biarlah  saje akak nak bercerita tentang roti bakar
Tersebutlah kesah.
Cik abang dari tengahari  dok tanya petang ni makan apa pulak. Alahai cikabang tu yang seronok tu bila isteri pencen, dah tak mahu dah makan kat kedai, biasanya petang petang gi ni beliau akan beli goreng pisang ke, kerepok goreng ke, atau makanan berat seperti mee goreng, atau pun rojak.
Sekarang ni benda macam dah tinggal sejarah. Berbalik  tentang terjadinya kesah roti bakar. Sebab pagi tadi akak penat sikit jadi tahap rajin tu dah kurang, maklum dah lama tak jogging, bila baru mula biasalah kan  .... sabar aje lah
Bila dah 2 , 3 kali dok tanya tentang minum petang, dalam pemikiran akak nak buat jemput bodo aje, seperti biasa, tapi berkhasiat, penuh dengan sayuran, tapi takkan lah hari hari makan jemput bodo pulak kan  ,  tiba - tiba idea datang. Biasanya cik abang kalau malam pergi ambik anak perempuan, kami akan singgah kan old town kat bandar k.t.
Jadi apa lagi, roti dah ada... jadik.

Bila akak hidangkan roti bakar ala old town ni, cik abang akak tersenyum
"Sedap , boleh kiro...."
Hahaha.. tak sangka menjadik..
Akak kata ."itulah lain kali  abang ke selalu bawak tukang masak ni makan kat kedai yang hebat -hebat ( mahal)"
Tiada sahutan , cuma airkopi panas dan roti licin.....




Caranya.. err  kena bagi tahu jugak ke.. ..?
Ok lah.. 
Roti 2 keping
Pembakar roti
Planta
Gula perang

Roti di bakar guna pembakar roti, kalau tak ada, guna aje kuali, panaskan roti dalam kuali sehingga garing tanpa minyak, (terbayang masa muda-muda dulu duduk rumah sewa.)
Planta  pastikan yang baru di keluarkan dari peti sejuk, potong planta  , tebalnya dalam 1cm  panjang nya 2 in, letakkan atas roti yang masih panas dan kemudian  taburkan sedikit gula perang keatas planta dan roti, jangan banyak sangat, nanti bahaya,....hihihi , ambik satu keping lagi, pasangan nya dan dampingkan pasangan itu..takupkan . Potong tepi dahulu baru hidang bersama kopi o panas. Sedappp... bila makan kita akan rasa rasa planta yang lemak, manis yang sederhana..roti yang rangup.....selamat mencuba...

Sepatutnya mace ni.. 


Roti selepas di ubah suai... hahaha..
Itulah dia cerita roti bakar..sekian..


UDANG TUMIS PEDAS


Siapa tak suka udang ya, masak pun senang, cuma masa makan agak membosan kan ya tak? Dan ditambahkan pulak hariini udang yang di beli oleh cik abang akak agak kecik, dia lah yang mengidam nak makan udang tumis pedas ni.  Dan hari ini akak rasa tercabar jugak untuk memasak udang ini, di sebabkan si cili kering kat rumah hanya tinggal 9 biji aje tu pun ya dah tak berapa elok ,jadi akak terpaksa menggolah masakan ini dengan menggunakan bahan yang ada, nak pergi beli rasa keberatan juga, maklum bila dah masuk ofis kat dapur ni berserta dengan pakaian yang bersesuaian dengan dengan alam sekitarnya, rasanya biar aje lah, gunakan aje bahan ya ada kan.. sebenarnya malas,  kena tukar pakian pulak,   banyak Malas  dari rajinnya.....ala hai  ... hihihi.
Dan dengan hati yang penuh kasih sayang akak pada cik abang , akak teruskan  masakkan udang ini. Dan hasilnya.. memang sedap. Udang kan... 



UDANG TUMIS PEDAS
Resepi ini akak main campak campak aje.. maksud akak , akak tak ikut mana-mana resepi, pakai resepi sendiri aje.. al maklum udang, udang.. udang, buat apa pun sedap..

1/2 kilo udang segar
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 in halia
9 biji lada kering
5 biji lada merah segar
4 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil sos bijin
1 sudu besar Sos tomato
1 sudu besar sos cili
Gula dan garam

Caranya
Rebus lada kering yang di potong sehingga kembang, toskan dan blend dengan lada merah. Mayang bawang putih , bawang merah dan halia, basuh dan toskan udang.
Panaskan minyak zaitun dan tumiskan halia seketika baru masukan bawang putih, kemudian baru masukkan bawang merah, bila bawang telah garing, kekuningan  masukan lada yangtelah di blend tadi. Masak sehingga pecah minyak.  Masukkan sos tomato dan sos cili biarkan seketika. Masukkan udang dan masukkan gula garam, sos bijan , rasakan. Pedaskan....hihihi..  dah di namakan pedas, kira  ok la tu... matikan api dan hidang....

Jangan lupa pulak member hidangan yang lain, nanti merajuk pulak.
Dan sediakan juga air  untuk minum.. .

Selasa, 17 November 2015

KARI TERONG ALA KELANTAN

Ha.. hari ini kita makan kari terong ya..akak teringin sangat nak masak kari terong ni. masakan ini memang kegemaran akak.
Nama aje gulai kkari tapi ianya bukan kari saja tapi akak campurkan dengan rempah kerutup dan ianya di masak dengan mengunakan santan yang pekat. Dan rasanya agak  manis, masin, masam dan lemak.. aduh dah meleleh air liur akak ni. Jom kita tengok bahan bahannya dulu ya.

KARI TERONG ALA KELANTAN

5 biji terong di belah 2
8 ulas bawang merah- di mayang
4 ulas bawang putih- di mayang
2 cm halia- di mayang
1/2 bungkus knor ayam
2 sudu besar rempah kerutup
2 sudu besar rempah kari
300 gram santan
500 gram air
1 btg kulit kayu manis di tumis bersama 
2 bunga lawang, 2 biji bunga cengkih, 2 biji 
2 tangkai daun kari
2 biji buah pelaga 
2 sudu besar air asam jawa
Garam, 
1/ 2 keping Manisan saiz kecil.
Minyak zaitun


Caranya
Bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga  dan kulit kayu manis di tumis sehingga naik bau , masukan halia goreng sekejap, masukkan separuh bawang putih kemudian masukkan separuh bawang merah, goreng hingga naik bau dan masukkan daun kari , goreng sekejap.
Masukkan rempah kari dan  kerutup yang telah  di campur  dengan sedikit air dan separuh lagi bawang putih dan bawang merah di sertakan sekali air asam jawa. Tumis seketika sehingga naik minyak, masukkan manisan kemudian, masukkan santan dan air kacau sehingga menggelegak. Masukkan terung , knorr perasa ayam dan kemudian masukan garam, rasakan manis masinnya, tutup api dan hidang. Dan untuk  hiasan tu atas kretiviti masing, masing. Akak ni bukannya pandai bab hias menghias ni, 

Hidangkan bersama temannya yang lain.



CHURROS


Churros..? Macam chau  kue.. kata cik abang sambil mencuba. Wah ..sekejap aje dah tinggal separuh . Kata cik abang ni baru cuba,  belum  betul betul makan..  alahai cik abangku sayang, tak apa lah, akak buat pun untuk di makan anak beranak, cumanya untuk anak perempuan akak yang tadi dah pesan suruh simpan untuknya esok ,sebab beliau bertugas malam hari ini, tak apalah nanti ummi buat yang lain esok. 
Untuk pencicahnya akak guna jem.
Kalau remaja ke kanak-kanak memang suka cicah churros ini dengan coklat atau gula, tapi kami ni , golongan veteran ni pencecahnya guna jem aje .. wah akak dan cik abang jadi orang putih sekejap. Tapi memang  cicah churros dengan jem ni menjadi, menjadi sangat -sangat.. cubalah.
Masa buat churros tadi , akak tak guna sarang kueh, pakai tangan aje...itu sebab pelbagairagam rupa churros akak ni... kasihan pulak.. emmm tak seragam  ..
Tak apalah asalkan masa makan dia orang tak brtengkar  ya.. emmm.





 Resepinya akak ambik dari laman fb


Cuba lah...senang aje..

GUALI TELOR ITIK CAMPUR IKAN KERING


Dah lama dah nak makan gulai kuning telor campur ikan kering.  Cik abang akak lah yang sibuk nak makan guali itik campur ni. Ya lakan.. kita ni ikut aje apa yang suami nak makan. Buat aje. Tapi memang berbaloi masak kegemaran suami ni, seronok tengok cik abang makan sampai bertambah nasi...
Sedap sangat katanya.. alahai cik abang .. ya la kita masak lagi lah ya..pandai menaik semangat isteri. 


Resepinya.
6 biji telor itik
1 ekor ikan kering jenis ikan gelama
6 biji lada merah
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 cm kunyit hidup
1 cm lengkuqs
2 cm halia
300 gm santan pekat
500 gm air sejuk
Garam
Gula
3 keping asam keping

Cara blend bawang halia, kunyit,lada, lengkuas dengan sedikit air, masukan kedalam periok , masukan santan bersama air sejuk tadi, masak hingga mendidih sehingga pecah minyak, masukan ikan kering , biarkan mendidih sekejap dan masa ni harumnya memang menyelerakan,  kecilkan api sedikit pecahkan telor satu, satu, masukan asam keping,garam dan gula, biarkan mendidik seketika , rasakan masam masimnya,

Apa lagi hidangkan ia bersama teman rapatnya..

Selamat mencuba....





Sabtu, 7 November 2015

ACAR SAYUR

Sedap, sedap, sedap cik abang cakap ,akak apa lagi..sedap sedap sangat, puas hati betul masak acar sayur ni, ada kelasss
Sedapnya secantik gambarnya.  Tiada perkataan untuk digambarkan bertapa sedapnya.



Sebelum make up.

Taraaa... dah makeup dah...  ala comot pulak gaya sentuhan makeup yg akak buat.. alahai...

Akak rasA acar ni kalau di makan dengan nasi minyak ke nasi tomoto pasti lagi sedap, makan gitu -gitu pun sedap.

Resepi ini akak ambik dari buku saji okt 2009 , tapi akak ubah sedikit ikut selera akak..   maaflah ya.

Bahan
300 gm kubis - di hiris halus
150 gm kacang panjang - potong panjang
1 batang lobak merah   -  potong memanjang
5 tangkai cili merah  hiris
5 tangkai cili hijau hiris
2 batang timun potong memanjang
1/4 biji nenas

Bahan B.
6 sudu besar minyak
4 sudu besar cili kering
15 ulas bawang merah
10 ulas bawang putih
2 sudu teh belacan
2 cm kunyit

Bahan C
170 ml cuka
200 gm gula
2 sudu garam bukit

Bahan D
1 cawan kacang tanah di panggang - tumbuk kasar
3 sudu besar bijan - sangai

Cara
Bahan A di celur sekejap. Toskan
Panaskan minyak, masukan bahan B yang telah di kisar , tumis sehingga pecah minyak, angkat dan sejukkan.
Panaskan bahan C, dan sejukan.
Gaul bahan A dengan bahan B dan kemudian bahan C, dan taburkan bahan D.
Hidangkan.


Hidangan untuk hari ini

Masak lemak cili padi ikan merah bertemankan kacang bendir dan nenas.


 Tertidur pulak kacang bendir ni, abaikan saja lah ya, penat sangat lah tu.


Ini hidangan untuk hari ini, ikan rebus goreng tak pernah ketingalan untuk bergambar, sayur campur goreng, sambal tanpa belacan di tengah teman rapatnya bendir rebus dan sayur serta acar sayur yg meletop.  Tapi masak lemak ikan merah akak tambah ikan selayang rebus ketika di hidang. 



Ni akak nak tunjuk saji kegemaran akak. Puas hati ,comelkan, walaupun makanan dan tertutup namun tetap dapat melihat hidangannya..



KAWAN DATANG DAN MEE GORENG




Petang ini ada kawan baik akak dan cik abang yang akan datang, itupun atas jemputan cik abang yang mahukan sistem banjir yang cik abang buat kat rumah ni dah rosak di perbaiki. Tapi sistem ni untuk banjir biasa aje, kalau banjir macam tahun lepas, sistem ini gagal beroperasi. Maklumlah bila semua kawasan dah di tenggalami air dah tak ada gunanya lagi, tiada siapa yang dapat melawan kuasa Allah, tiap kita kena iktiarkan . Dan orang yang paling bagus dalam urusan pembaikian  ini adalah kawan baik kami, En. Roslan Awang  juruteknik MRSMKT . Beliau merupa pekerja kesayangan cik abang semasa cik abang bertugas dahulu dan kawan sekerja akak yang akak paling suka , nak tahu kenapa, kerja beliau tiptop. Bila minta tolong, kejap aje dah sampai dan terus buat tanpa banyak cakap. Itulah hikmahnya orang beriman ramai orang suka, rezeki pun murah.
Dan kerana itu  akak sediakan mee goreng kering dan kopi O  beng sempena kedatangan beliau. Beliau suka sangat dengan kopi O beng.



Mee goreng kering

Buah limau nipis dan tomato ni saja akak asingkan . Nanti sapa yang hendak diorang ambil taklah penuh kat dalam mangkok mee goreng tu.

Ini akak paparkan resepi mee goreng kering yang menjadi kegemaran suami dan anak anak akak.  Mee ini agak pedas, bagi yang tak suka pedas kurangkan lada kering.

Resepi mee goreng kering.

2 bungkus mee 
5 ekor udang sekadar untuk jadi hiasan
1 labu bawang putih
6 ulas bawang merah
10 biji lada kering  di kisar -kalau tak nak pedas kurangkan
2 sudu besar udang kerIng  - ditumbuk
1 labu bawang besar di mayang kasar
2 biji lada merah - di mayang kasar
1 sudu besar lada hitam di tumbuk
Minyak zaitun
1 kuib knor ayam
2 batang daun sederi
3 jambak lobak jepun
2 sudu  besar  sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap lemak manis
Daun sup, limau nipis dan buah tomato untuk hiasan.

Caranya..
Masukkan minyak dalam kuali ,panas masukan bawang putih yang di tumbuk biarkan sedikit garing, masukan bawang merah yang di mayang halus, bila agak garing dan baunya dah semerbak masukan lada kering yang dikisar. Bila sudah garing masukkan pula udang kering di tumbuk tadi biarkan sekejap masukan sos tomato , sos cili , sos tiram, kicap manis, dan udang basah, kuib Knor , lada hitam , bila semuanya dah agak kering,  buatkan satu bulatan kat tengah kuali dan pecahkan telor biarkan ia masak seketika baru di gaul bersama bahan di dalam kuali tadi. Masukkan mee , kacau sekejap bersama bahan yang di goreng tadi, masukan batang sederi yang di potong kasar, bawang besar, lada merah, lobak jepun. Kacau dan rasakan biasanya ianya dah cukup manis masinnya tak perlu di tambah garam lagi, tapi itu ikut selera masing masing lah , tambahkan perasa yang kurang. Tutup api dan hidangkan.




Kopi O Beng tak di hidangkan lagi , tunggu dia orang selesai kerja dulu baru akak hidangkan.
 Silakan.

Khamis, 5 November 2015

Bingka ubi kayu




Memang dah lama nak makan bingka ubi kayu ni. Kelmarin pagi pasar ikan kat pantai mengabang telipot terpandang ubi kayu terus beli dan pagi tadi terus buat. Alhamdulillah menjadi.

Bukan tak ada yang jual kuih gini, cuma biasanya rasa manis sangat. Jadi buat sendiri seronok sebab rasanya sederhana manis dan cukup lemaknya.

Resepi ini akak olah sendiri ikut cita rasa akak..alahai.  Itu selepas tengok blog blog orang yang hebat tu.

Bahan bahannya ialah....
1 kilo ubi kayu yang telah di parut.. akak blend aje
1 biji telor
200 ml santan kotak jenis kara
I keping manisan saiz kecil
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar mentega
1 sudu kecil perasa pandan
1 sudu kecil garam bukit
Sedikit pewarna kuning

Caranya
Ubi kayu di blend dengan sedikit air dan di tapis. Ubi yang telah diblend tu di tekan-tekan sedikit. Manja manjakan aje sekadar untuk mengeluarkan airnya . Masakan manisan, gula perang dan bila dah larut matikan api masukan mentega sejukan seketika. Ubi yang dah ditapis tadi di masukan telor yang di pukul sedikit, masukan perwarna , garam, santan dan terakhir masukkan air manisan tadi kedalam loyang. Kacau sehinga sebati. Terlebih dahulu panaskan ketuhar  180 f. Gunakan api atas bawah, dan pastikan loyang di letak tingkat yang paling bawah. Masukan loyang tadi , bakar selama 45 hingga 50 minit. Dan sekiranya ada yang suka rasa kerak yang tebal tambahkan masa membakarnya.  Pastikan bingka di sejukkan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum di potong dan di hidangkan. Insyaallah bingka ini terpotong cantik seperti di atas.
Selamat mencuba...



Bingka ni dah cacat sedikit.. sebab ada orang yang tak sabar nak cuba..

Rabu, 4 November 2015

Gulai kari udang Babas

Kebetulan anak perempuan ada keruman hari ini  , jadi akak masak istimewa sikit la. Gulai kari udang. Nak hiburkan hatinya. Semalam beliau kerja malam dan hari ini rehat. Sesiapa yang ada anak yang kerja doktor dalam pangkat HO dia orang pasti tahu apa yang  cuba akak buat ini. Sebagai seorang ibu,kebahagian anak lebih dari segalanya untuknya.

Biasa aje kan masak udang buat apa pun sedap. Tapi hari ini cik abang yang terover makan, sampai bertambah nasi.  Terlangar pantang  .  Dia sendiri yang tergelak. Tak apalah bang, sekali sekala..
Tapi bukan sekali sekala malah dah berkali kali langar pantang... dia sendiri yang cakap dia sendiri dia sendiri ketawa..itu lah perangai istemewa suami kesayangan akak.
Akak temankan gulai kari udang ini dengan pasangan bahagianya peria goreng (tak pernah tinggal, ) ikan goreng ikan rebus, sayur goreng campur untuk anak dara akak, ikan pekasam sarawak, sambal cili tanpa belacan..hihihi

Gulai kari udang ini resepinya akak ikut apa yang tertulis di belakang palstik rempahnya, cuma akak tak letak tomato dan di ganti dengan bendir. Jadi tak payahlah akak tulis kat sini, kalau sesiapa nak buat ikut aja resepi kat situ.
.





Silakan....alhamdulillah..

Selasa, 3 November 2015

Gulai ikan kuning ikan ayo rebus ala kampung



Gulai ikan ayo rebusini kegemaran cik abang akak. Hari ini 3 kali beliau minta untuk di hidangkan makanan. Biasanya kalĂ u akak masak untuk sekali makan sahaja waktu tengahari. Tapi kalau ada lauk ini balik solat isyak pun beliau minta untuk di hidangkan .




Akak hidangkan sekali dengan sambal dan ikan goreng ikan rebus 
Di campur ayam masak lemon kegemaran anak akak..dan lauk kegemaran akak peria goreng.. alhamduliiah semuga hidangan ini ad keberkatanya..


Silakan..

Gulai ikan ayo rebus ala kampung


 Resepinya
5 ketul ikan ayo rebus
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 in kunyit hidup
4 biji lada jarum
5 biji lada hidup
300 ml Santan pekat
600 ml air
3 keping asam gelugur
 Caranya...
Blendkan semua bahan kecuali ikan rebus an masokan santan dan air kedalam periok. Santan ini kena sentiasa di kacau supaya tidak berketul-ketul nanti tak cantik dan kurang enak gulai tersebut. Masak sehingga pecah minyak lebih kurang 15 minit .
Masukkan ikan rebus ,asam gelugur, garam dan gula. Perlahankan api dan biarkan seketika. Tutupkan api  .  Siap dan boleh di hidangkan.

Bahan untuk di blend


Isnin, 2 November 2015

IKAN REBUS
Kelakar kan bunyinya.. itu untuk orang dah tahu dan dah pandai masak, bagi yg baru nak belajar masak , kalam kabut jugak di buatnya kan. Tapi jangan bimbang ini akak nak bagi tahu caronya..mudah aje

Ikan, asam keping , manisan,garam sedikit cuka , air dan rebus...
(Yang ketul empat segi tu manisan..jangan pening pulak..)

Ikan rebus ini bila beberapa hari di panaskan semangkin menjadik  keenakkannya....






Dah siap..jemput makan.
Singgang kacang bendir


Makanan untuk kesihatan

20 biji kacang bendir
1 in lengkuas di hiris
6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
3 keping asam gelugur
2 in halia di hiris
Garam
Gula

Caranya
Panaskan air dalam periok, masukan semua bahan kecuali kacang bendir (bendi) biarkan seketika sehingga perasa bahan keluar akhirnya masukan bendi sekejap sahaja. Tutup api..hidangkan..